Alumni Pasca Siswazah FSTPi terima Hadiah Merit Doktor Falsafah di Anugerah Penerbitan FRIM 2017

Dr. Siti Fatimah Binti Sabran, alumni pasca siswazah dan juga pensyarah dari Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi) telah menerima Anugerah Penerbitan bagi Kategori Hadiah Merit Doktor Falsafah sempena Majlis Hari Anugerah FRIM 2017 yang bertempat di Bahagian Latihan Perhutanan, Forest Research Institute Malaysia (FRIM) pada 27 April 2017 yang lalu.

Tesis beliau yang bertajuk “Documentation, antimycobacterial activity, and phytochemical profiling of selected medicinal plants used by the Jakun community in Johor” adalah hasil bimbingan Prof. Emeritus Datin Dr. Maryati Mohamed selaku penyelia utama dan Profesor Madya Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar selaku penyelia bersama.

Penyelidikan untuk tesis tersebut adalah bersifat multidisiplin yang menggabungkan tiga bidang iaitu etnobotani, biosains dan hasilan semulajadi. Tesis ini telah berjaya mengenengahkan potensi tumbuhan ubatan yang digunakan dalam pengetahuan tradisi oleh kaum Orang Asli suku Jakun di Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai “natural-based drugs” dalam rawatan penyakit tuberkulosis. Hasil penulisan tesis ini turut berjaya menerbitkan satu artikel berindeks ISI dan satu artikel berindeks Scopus serta enam pembentangan di persidangan tempatan dan antarabangsa, sekaligus memperkenalkan nama UTHM dalam bidang-bidang tersebut.

Anugerah yang diterima ini mengukuhkan lagi peranan UTHM dalam menyumbang dan meneroka potensi biodiversiti khususnya di Johor seterusnya menjadikan Centre of Research for Sustainable Uses of Natural Resources (CoR-SUNR), FSTPi sebagai antara pusat penyelidikan utama bagi bidang biodiversiti dan konservasi. Anugerah penerbitan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada semua pelajar pasca siswazah untuk menghasilkan penulisan tesis yang berkualiti.